Friday 28 February 2014

Sampahnya Mentaliti


Aku sokong A.
Kau sokong B.

Kau sokong lain dari apa yang aku sokong. Jadi, kau bukan lagi kawan aku. Kau musuh aku. Kau bodoh dan jahat kerana tidak menyokong apa yang aku sokong. Persetankan ukhwah kita sekalipun kita sudah kenal sesama sendiri lebih dari puluhan tahun. Jikalau dari dahulu lagi aku tahu yang kau tak sokong apa yang aku sokong, nescaya kita takkan berkawan. Pasti kita sudah pun bertelagah sejak dahulu lagi. Kita hanya boleh kembali berkawan andai kau sokong apa yang aku sokong.

Bekas kawanku, tidakkah kau tahu bahawa di negara kita ini hanya mereka yang menyokong sesuatu yang sama sahaja boleh berkawan? Aku sedaya upaya tidak mahu memutuskan silaturrahim antara kita tapi aku tak mampu. Kenapa mesti kau sokong yang itu? Sudah puluhan kali aku mengajak kau sokong apa yang aku sokong. 

Kau degil. Kau babil.

Kenapa kau mesti sokong apa yang aku sokong? Kerana bagi aku, apa yang aku sokong adalah betul. Bagi aku, apa yang kau sokong adalah salah. Kau tak patut sokong yang itu. Bukan kau tidak tahu, minda kita semua telah pun diterapkan dengan nilai-nilai ini semenjak botol susu masih utuh dalam genggaman kita semua.

Aku betul. Kau salah. Selamanya kau akan salah. Kau hanya akan betul kalau kau ikut apa yang aku sokong.


‘There’s always a thing called moderation’

Monday 9 January 2012

Kasih Seorang Ibu

Malam yang sayu, sesayu wajah Mek Nab yang menanti kepulangan anak tunggal kesayangannya, Fida. Sudah puas dia menatap jam di dinding. Mek Nab penuh mengharap. Fida masih belum muncul. Dia sepatutnya sudah pulang. Mek Nab tidak berputus asa, dia tetap mahu menunggunya. Sekejap berbaring di sofa, sekejap mundar-mandir di ruang tamu. Jiwa Mek Nab berkecamuk, penuh gelisah. Mek Nab tidak sabar lagi, lantas membuka pintu dan duduk di tangga rumah. Masih utuh rumah kayu itu sejak peninggalan suaminya 5 tahun dahulu. 


Angin malam menerpa Mek Nab tanpa simpati. Sekali sekala, kilat bertandang di awan yang kelam. Mek Nab kesejukan. Badannya menggigil namun tetap digagahinya jua. Diambilnya sehelai kain batik lusuh lalu membalut badannya. Mek Nab turut menjerit-jerit nama Fida berulang kali dengan harapan dia akan lekas pulang. Mek Nab sudah tidak tahan lagi. Di malam yang gelap itu dia mahu keluar mencari Fida kesayangannya. Dia khuatir jikalau ada apa-apa yang menimpa Fida.


Mek Nab menyelongkar almari biliknya untuk mencari lampu suluh. Dalam pada itu, dia terjumpa sekeping gambar lama. Gambar itu gambar Mek Nab, Fida dan arwah suaminya, Pak Dahlan. Dia tersenyum sendirian, air matanya berlinangan. Di dalam gambar itu, Fida sedang duduk di bangku sambil ketawa. Alangkah comelnya dia. Bila terlalu lama menatap wajah Fida, niat Mek Nab untuk mencarinya kian teguh. Dengan segera, Mek Nab mencapai lampu suluh dan keluar ke halaman rumah. Gambar tadi digenggamnya penuh erat.


Sebaik kakinya mencecah Bumi, hujan turun renyai-renyai. Mek Nab tidak peduli. Fida mesti dicari walau apa pun halangannya. Tiba-tiba, hujan semakin lebat, petir turut menyambar, pandangannya menjadi kabur. Mek Nab kuatkan semangatnya. Sampai di simpang jalan, Mek Nab terlihat cahaya yang terang. Tanpa menoleh ke arah lain, Mek Nab terus mengejar cahaya itu sambil menjerit nama Fida. 


"Fida! Fida! Mari sini Fida, ikut mak balik Fida!", laung Mek Nab sekuat hati.


Serentak itu juga, Mek Nab melambung ke udara selama beberapa saat dan jatuh terhentak di atas pembahagi jalan. Darah menyelubungi seluruh tubuh Mek Nab. 


"Astaghfirullah, itu Mek Nab tu!", jerit satu suara yang datangnya daripada sebuah lori. Lori itulah yang melanggar Mek Nab. Pemandu yang terkejut itu sedaya upaya menyelamatkan Mek Nab, tetapi Mek Nab sudah pun tidak bernyawa. Gambar tadi masih kekal dalam genggamannya.


***********************************************************


"Kesian Mek Nab ni, tiap malam dia tunggu si Fida tu balik. Padahal Fida tu dah lama meninggal", ujar ketua kampung, Pak Salleh seraya memandang pilu keranda Mek Nab dimasukkan ke liang lahad. Jenazah Mek Nab dikuburkan bersebelahan kubur Fida. Gambar keluarganya disisipkan bersama. Moga rohnya tenang sahaja di sana.


Selesai semuanya, Pak Salleh beredar pulang sambil memegang erat tangan isterinya. Air matanya bercucuran.  

"Its not the money that tie us together, its love"

Friday 26 August 2011

Hajat

Jika hari ini kau dapat apa yang kau hajatkan, senyumlah. 


Kerana apa yang kau hajatkan hari esok, mungkin tidak ke tangan kau.

Penawar Yang Tiada

Seluruh tubuhnya tenat, nazak dan seperti takkan mampu bertahan lama. Layu dan lesu, tiada upaya lagi untuk berfungsi seperti sediakala. Sakit itu di awalnya hanya sekecil-kecil taugeh, sekarang sudah sebesar tembikai, dan kian membesar. Sakit itu sangat sukar untuk ditemukan penawarnya, hanya penawar yang betul-betul asli sahaja mampu mengubati. Dia akur, dia pasrah. Memang bukan pintanya untuk menjadi sebegitu rupa, sudah ketentuannya. Tapi, dia takkan mengalah, tidak sama sekali.


"Bersabarlah, kuatkan semangatmu wahai kawan", getus sahabat baiknya, si pankreas.


"Kau akan selamat, andai kami dapat menabur secebis bakti... Kau akan selamat", sambung si jantung.


"Kami perlukan kamu, teman. Janganlah pergi", ujar perut. Nadanya pilu. 


Si ginjal, usus kecil dan yang lain-lain hanya merenung kosong, tunduk terkelu. Masing-masing diam, sedih dan begitu terkesan. 


Tidak lama selepas itu, mereka semua meraung kesedihan yang teramat sangat. Sahabat mereka yang sedang nazak itu telah pun mati. Penawarnya tidak sempat dicari.


Itulah kisah si hati, organ yang paling rapuh dan senang mati. 


"Even the best doctor in the world couldn't cure a broken heart"