Monday, 9 January 2012

Kasih Seorang Ibu

Malam yang sayu, sesayu wajah Mek Nab yang menanti kepulangan anak tunggal kesayangannya, Fida. Sudah puas dia menatap jam di dinding. Mek Nab penuh mengharap. Fida masih belum muncul. Dia sepatutnya sudah pulang. Mek Nab tidak berputus asa, dia tetap mahu menunggunya. Sekejap berbaring di sofa, sekejap mundar-mandir di ruang tamu. Jiwa Mek Nab berkecamuk, penuh gelisah. Mek Nab tidak sabar lagi, lantas membuka pintu dan duduk di tangga rumah. Masih utuh rumah kayu itu sejak peninggalan suaminya 5 tahun dahulu. 


Angin malam menerpa Mek Nab tanpa simpati. Sekali sekala, kilat bertandang di awan yang kelam. Mek Nab kesejukan. Badannya menggigil namun tetap digagahinya jua. Diambilnya sehelai kain batik lusuh lalu membalut badannya. Mek Nab turut menjerit-jerit nama Fida berulang kali dengan harapan dia akan lekas pulang. Mek Nab sudah tidak tahan lagi. Di malam yang gelap itu dia mahu keluar mencari Fida kesayangannya. Dia khuatir jikalau ada apa-apa yang menimpa Fida.


Mek Nab menyelongkar almari biliknya untuk mencari lampu suluh. Dalam pada itu, dia terjumpa sekeping gambar lama. Gambar itu gambar Mek Nab, Fida dan arwah suaminya, Pak Dahlan. Dia tersenyum sendirian, air matanya berlinangan. Di dalam gambar itu, Fida sedang duduk di bangku sambil ketawa. Alangkah comelnya dia. Bila terlalu lama menatap wajah Fida, niat Mek Nab untuk mencarinya kian teguh. Dengan segera, Mek Nab mencapai lampu suluh dan keluar ke halaman rumah. Gambar tadi digenggamnya penuh erat.


Sebaik kakinya mencecah Bumi, hujan turun renyai-renyai. Mek Nab tidak peduli. Fida mesti dicari walau apa pun halangannya. Tiba-tiba, hujan semakin lebat, petir turut menyambar, pandangannya menjadi kabur. Mek Nab kuatkan semangatnya. Sampai di simpang jalan, Mek Nab terlihat cahaya yang terang. Tanpa menoleh ke arah lain, Mek Nab terus mengejar cahaya itu sambil menjerit nama Fida. 


"Fida! Fida! Mari sini Fida, ikut mak balik Fida!", laung Mek Nab sekuat hati.


Serentak itu juga, Mek Nab melambung ke udara selama beberapa saat dan jatuh terhentak di atas pembahagi jalan. Darah menyelubungi seluruh tubuh Mek Nab. 


"Astaghfirullah, itu Mek Nab tu!", jerit satu suara yang datangnya daripada sebuah lori. Lori itulah yang melanggar Mek Nab. Pemandu yang terkejut itu sedaya upaya menyelamatkan Mek Nab, tetapi Mek Nab sudah pun tidak bernyawa. Gambar tadi masih kekal dalam genggamannya.


***********************************************************


"Kesian Mek Nab ni, tiap malam dia tunggu si Fida tu balik. Padahal Fida tu dah lama meninggal", ujar ketua kampung, Pak Salleh seraya memandang pilu keranda Mek Nab dimasukkan ke liang lahad. Jenazah Mek Nab dikuburkan bersebelahan kubur Fida. Gambar keluarganya disisipkan bersama. Moga rohnya tenang sahaja di sana.


Selesai semuanya, Pak Salleh beredar pulang sambil memegang erat tangan isterinya. Air matanya bercucuran.  

"Its not the money that tie us together, its love"

5 comments:

yebNada said...

Dem. psal smua reading ko cm ayat sastera BM je? tp aku lyn je sbb aku suka style tersirat ko tuu... hihihihi..

Encik KOKO said...

indah..
tapi bernada sadis..

Ainie Apple said...

best nya entry ni...:)

Anonymous said...

wow..a nice blog. keep it up. love ur writing.


---Alia

FiftyNine said...

Loving is loving