Aku sokong A.
Kau sokong B.
Kau sokong lain dari apa yang aku
sokong. Jadi, kau bukan lagi kawan aku. Kau musuh aku. Kau bodoh dan jahat
kerana tidak menyokong apa yang aku sokong. Persetankan ukhwah kita sekalipun
kita sudah kenal sesama sendiri lebih dari puluhan tahun. Jikalau dari dahulu
lagi aku tahu yang kau tak sokong apa yang aku sokong, nescaya kita takkan
berkawan. Pasti kita sudah pun bertelagah sejak dahulu lagi. Kita hanya boleh
kembali berkawan andai kau sokong apa yang aku sokong.
Bekas kawanku, tidakkah kau tahu
bahawa di negara kita ini hanya mereka yang menyokong sesuatu yang sama sahaja
boleh berkawan? Aku sedaya upaya tidak mahu memutuskan silaturrahim antara kita
tapi aku tak mampu. Kenapa mesti kau sokong yang itu? Sudah puluhan kali aku
mengajak kau sokong apa yang aku sokong.
Kau degil. Kau babil.
Kenapa kau mesti sokong apa yang
aku sokong? Kerana bagi aku, apa yang aku sokong adalah betul. Bagi aku, apa
yang kau sokong adalah salah. Kau tak patut sokong yang itu. Bukan kau tidak tahu,
minda kita semua telah pun diterapkan dengan nilai-nilai ini semenjak botol
susu masih utuh dalam genggaman kita semua.
Aku betul. Kau salah. Selamanya
kau akan salah. Kau hanya akan betul kalau kau ikut apa yang aku sokong.
‘There’s always a thing called moderation’