Friday 26 August 2011

Hajat

Jika hari ini kau dapat apa yang kau hajatkan, senyumlah. 


Kerana apa yang kau hajatkan hari esok, mungkin tidak ke tangan kau.

Penawar Yang Tiada

Seluruh tubuhnya tenat, nazak dan seperti takkan mampu bertahan lama. Layu dan lesu, tiada upaya lagi untuk berfungsi seperti sediakala. Sakit itu di awalnya hanya sekecil-kecil taugeh, sekarang sudah sebesar tembikai, dan kian membesar. Sakit itu sangat sukar untuk ditemukan penawarnya, hanya penawar yang betul-betul asli sahaja mampu mengubati. Dia akur, dia pasrah. Memang bukan pintanya untuk menjadi sebegitu rupa, sudah ketentuannya. Tapi, dia takkan mengalah, tidak sama sekali.


"Bersabarlah, kuatkan semangatmu wahai kawan", getus sahabat baiknya, si pankreas.


"Kau akan selamat, andai kami dapat menabur secebis bakti... Kau akan selamat", sambung si jantung.


"Kami perlukan kamu, teman. Janganlah pergi", ujar perut. Nadanya pilu. 


Si ginjal, usus kecil dan yang lain-lain hanya merenung kosong, tunduk terkelu. Masing-masing diam, sedih dan begitu terkesan. 


Tidak lama selepas itu, mereka semua meraung kesedihan yang teramat sangat. Sahabat mereka yang sedang nazak itu telah pun mati. Penawarnya tidak sempat dicari.


Itulah kisah si hati, organ yang paling rapuh dan senang mati. 


"Even the best doctor in the world couldn't cure a broken heart"

Thursday 25 August 2011

Rintihan Seekor Haiwan

Hari itu tenang, bagai selalunya. Lama benar hujan tidak berkunjung tiba. Ahmad, itulah nama yang Pak Hashim berikan kepada burung merpati kesayangannya. Telah bertahun si Ahmad bersama keluarga Pak Hashim, menjadi saksi pelbagai peristiwa pahit dan manis. Tetapi, bukan semua yang dapat Ahmad saksikan. Ini kerana selama bertahun-tahun itu juga lah dia kekal di dalam penjara dunianya, hanya mampu mengerling sekitar luar rumah Pak Hashim sahaja. Ahmad akui, Pak Hashim sememangnya seorang yang penyayang, sangat kasihkan dirinya itu walaupun berbeza spesis dan bilangan akal nya. Andai dapat Ahmad luahkan isi hatinya yang selama ini terpendam, sudah pasti beliau mahu apa yang haiwan lain mahukan, kebebasan yang nyata!


Sekali-sekala Ahmad memandang sayu burung gagak yang berterbangan di sekitar tong sampah. Rupanya hodoh, bunyinya keji, perangainya hina. Kenapa burung gagak semuanya begitu? Ahmad membandingkan dirinya dengan burung gagak itu. Ahmad menang dalam banyak segi jika nak dibandingkan dengan gagak yang nyata jelik itu. Tetapi, dia tahu dia telah kurang satu nikmat yang sepatutnya kekal untuk dirinya, iaitu bagaimana untuk mengembangkan kepaknya seluas mungkin dan terbang semahu-mahunya tanpa sebarang jeriji besi menghalang. Alngkah bagusnya jika dia dapat mengingat kembali bilakah kali terakhir dia terbang bebas. 


Vroom! Vrooom!


Bunyi motokar Pak Hashim. Tatkala itu juga, satu keluarga Pak Hashim keluar dari rumah, berpakaian lawa. "Yeay, mandi pantai! Mandi pantai!", teriak anak Pak Hashim, Sarah, penuh keriangan. Mereka semua kemudiannya berlalu pergi, penuh gembira. 


Ahmad pula masih di situ, dan selamanya mungkin di situ. 


"Its better being a crow, than a poor caged bird that have forgotten to fly"

Salam Perkenalan

Assalamualaikum.


Ini adalah penulisan alam maya ku yang pertama, sebaik aku mula berjinak-jinak dengan dunia blog. Telah ramai manusia tak kira umur mahupun latar belakangnya, yang sudah lama menapak dalam dunia blog ini. Memandangkan aku juga sudah mempunyai satu akaun blog, aku mahu menulis semahu-mahunya tentang persepsi dan dari kaca mataku sendiri tentang pancaroba hidup yang aku harungi kini, mungkin juga sedikit selitan kisah zaman kecilku. 


Pengalaman itu sesuatu yang indah dikongsi bersama, tidak semua merasai apa yang kita lalui sehari-hari. Semoga pengalaman ku menulis blog ini akan menjadi kenangan yang agung dan menjadi sesuatu yang aku mahu ingati sampai bila-bila, bukannya lupus ditelan sebagai memori hitam yang tiada baiknya. 


"Don't expect your teacher to teach you how to feel pain. 
Explore your world, explore your mind"